PANDAI BESI

Sejarah Ketukangan Besi Kg. Tradisional Pekan Darat, Butterworth.

Gambar 1 : Bengkel Utama Pandai Besi
Perusahaan membuat berbagai peralatan daripada besi telah dimulakan sejak 1841 oleh penduduk-penduduk Pekan Darat ,Seberang Perai Utara.Mereka ini merupakan satu-satunya golongan usahawan Melayu tradisional yang termashyur di Pulau Pinang ini malah di utara semenanjung ini sebagai Golongan Usahawan Melayu “Pandai Besi”sejak sebelum Merdeka lagi.

Dikatakan juga bahawa tukang-tukang besi ini berperanan menyediakan persenjataan berasaskan besi kepada pejuang-pejuang Kedah yang berada di Seberang Perai ini semasa Peperangan Siam Kedah 1821-1842.

Gambar 2: Aktiviti membuat pisau
Setelah tamat perang maka mereka meneruskan kehidupan seperti biasa sebagai tukang-tukang “Pandai Besi”.. Pembukaan tanah-tanah sawah di Seberang Perai khususnya di Seberang Perai Utara telah meningkat kan permintaan terhadap peralatan berasaskan besi seperti Parang,cangkul,pisau, tajak,sisir kacip dan sebagainya. Pembuatan senjata seperti keris, pedang dan sebagainya juga diusahakan mengikut permintaan. Keadaan ini memberikan peluang permintaan yang tinggi terhadap barangan produk Pekan Darat itu.Diceritakan bahawa pada 1950an bahawa kita dapat melihat perusahaan menempa ini ,yang dijalankan secara keluarga bermula dari Pekan Maklom,Permatang Tok Jaya dan yang terbanyak sekali di Pekan Darat ini khususnya di Permatang Benuan seperti yang masih ada sekarang ini. Di Permatang Benuan pada awal tahun 1960an dikatakan ,disetiap rumah kita dapat lihat perusahaan ini dijalankan secara keluarga. Tukang-tukang besi ini menghasilkan produk dan menjualnya sendiri. kemudian dengan Bantuan MARA beberapa buah bengkel telah didirikan diatas tapak yang dibeli oleh MARA sendiri.Semua pengusaha telah ditempatkan bagi menjalankan aktibiti mereka didalam bengkel tersebut .Sebuah koperasi telah ditubuhkan untuk tujuan tersebut.

Gambar 3: Aktiviti membuat pisau getah
Namun perusahaan ini mengalami kemerosotan akibat permintaan barangannya menurun akibat modenisasi pertanian yang menggunakan jentera-jentera moden. Semasa sebelum penggunaan jentera pembajak dan menuai di perkenalkan dalam penanaman padi .Barangan dari Pekan Darat ini dijual dengan majunya di Kedah terutama di Pekan –pekan sehari Kota Sarang Semut, Simpang Empat ,Alor Setar dan sebagainya. Kini masih mendapat permintaan tinggi produk pisau,parang menebas dan pisau toreh getah terutamanya di Baling,Kuala Nerang ,Sik, Grik khususnya kawasan Pengeluaran Getah di Kedah dan Perak Utara.Permintaan juga datang dari tempahan-tempahan penjual dari Kepala Batas,Tasek Gelugor ,Alor Setar dan Kuala Kangsar.

Perukangan besi di Pekan Darat ini sememangnya unik kerana mereka mewarisi kepandaian dan ilmu pertukangan itu secara warisan turun-temurun dari keluarga masing-masing yang diasaskan oleh Tuan Haji Salleh yang datang dari Patani ,Selatan Thai pada 1820 .Pada tahun 1960an masih terdapat 40 orang tukang-tukang besi ini. Namun sekarang hanya tinggal beberapa orang sahaja. Sementara lainnya secara sambilan seperti Ustaz Azhar,En. Jamaluddin Ahmad,Baharin dan sebagainya. Generasi muda yang tinggal mengusahakan warisan ini sangat sedikit bilangannya.mungkin pekerjaan dikilang dan sektor kerajaan lebih menarik dan terjamin berbanding dengan pertukangan besi ini.Ini lah dilemma yang menghantui perusahaan ini . 

Dikatakan keilmuan hasil kerja yang halus,berkualiti dan bernilai seni yang tinggi oleh tukang-tukang besi di Pekan Darat ini sehingga mendapat tempahan dari Kerajaan Negeri Kedah bagi membuat Cop Mohor Sultan Kedah.Begitu juga Kerajaan Negeri Perak khususnya diatas inisiatif Allahyarham Mahaguru Silat Gayong Malaysia Dato’ Meor telah membawa tukang-tukang besi dari sini untuk mengajar ilmu pandai besi ini kepada petukang-petukang besi di Kuala Kangsar.

Begitulah pengiktirafan hasil karya seni yang tinggi yang dimiliki oleh Tukang-tukang Besi Pekan Darat ini yang merupakan Warisan Melayu Seberang Perai yang satu-satunya masih bertahan untuk terus hidup dan berkarya untuk tatapan generasi akan datang. Persoalannya sehingga bilakah mereka mampu bertahan dengan cabaran-cabaran ekonomi dan modenisasi masakini yang dikira telah menghakis warisan unggul Seberang Perai ini.



1 comment: